ARTIKEL

Wee Hong Seng ketika sidang media Larian Pink Dumbbell 2027 di sini, hari ini.

Larian Pink Dumbbell 2027 salur hasil bantu atlet bina badan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Larian Pink Dumbbell 2027 bakal membawa misi kebajikan tersendiri apabila hasil penganjuran akan disalurkan bagi membantu kos operasi atlet bina badan Sarawak menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Larian anjuran Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) yang dijadual berlangsung di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 21 Mac tahun depan itu akan bermula pada 6 pagi dengan menawarkan dua jarak, iaitu tiga dan lima kilometer.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, penganjuran yang membawa mesej “Tubuh Sihat, Minda Cergas, Diri Menawan” itu membawa mesej lebih luas berkaitan kepentingan kesihatan tubuh badan, keyakinan diri, pemikiran positif dan kesejahteraan menyeluruh.

Wee Hong Seng ketika sidang media Larian Pink Dumbbell 2027 di sini, hari ini.

“Tubuh yang sihat, minda yang kuat dan diri yang menawan bukan hanya berkaitan penampilan fizikal.

“Ia juga membina keyakinan, mengekalkan pemikiran positif dan menjaga kesejahteraan diri secara menyeluruh,” katanya pada sidang media Larian Pink Dumbbell 2027 di sini, hari ini.

Wee yang juga mantan Presiden SBBA berkata, penganjuran tersebut turut memperlihatkan kerjasama antara persatuan sukan, organisasi kecergasan, kumpulan masyarakat dan badan sukarelawan dalam menggalakkan penyertaan komuniti menerusi aktiviti sihat.

“Peserta juga bakal menerima kemeja-T rasmi acara, pingat penamat dan nombor peserta, selain berpeluang menyertai cabutan bertuah.

“Yuran penyertaan pula amat berpatutan iaitu antara RM15 hingga RM55 mengikut kategori dan kemudahan yang dipilih, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat menyertai program.

Selain larian, katanya, program itu turut memperkenalkan cabaran gim mini anjuran Turbo Fitness bagi memberikan pengalaman kecergasan tambahan kepada peserta.

“Orang ramai yang berminat digalakkan supaya mendaftar lebih awal sebelum pendaftaran ditutup pada 21 Februari 2027.

“Saya tidak sabar untuk melihat lautan warna merah jambu di ruang legar MBKS pada 21 Mac 2027,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU