JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien mengambil inisiatif dengan membantu rakyat memasang pendawaian elektrik sehingga ke meter.
Tegas Larry yang merupakan Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), inisiatif ini diharap dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi penduduk.

“Pusat Khidmat Parlimen Julau menggunakan insiatif ini untuk membantu rakyat dalam menyambung bekalan elektrik.
“Kita membantu memasang pendawaian elektrik di luar sehingga ke meter elektrik sahaja dan ini mampu membantu rakyat.
“Saya menerusi Pusat Khidmat Parlimen Julau, akan sedaya upaya membantu mereka lebih-lebih yang ingin membuat pendawaian elektrik di rumah panjang yang baharu,” kata Larry.
Beliau berkata sedemikan pada Majlis Segulai Sejalai Bersama Komuniti di Rumah Vincent, Ulu Sejugam Lasi.
Ujarnya, ini merupakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek.
Larry turut menyatakan pelbagai bantuan disediakan oleh Kerajaan Madani yang mampu memberi impak kepada pembangunan kawasan lebih-lebih lagi kepada pekebun kecil.
“Kerajaan Pusat pada masa kini banyak menyediakan bantuan yang dapat membantu komuniti bergerak dalam meningkatkan taraf hidup.
“Antaranya ialah Program Sejati Madani yang mempunyai agihan belanja sebanyak RM100,000 dan peluang ini harus direbut.
“Jangan lepaskan peluang memohon bantuan sedemikian dan ia penting untuk membantu para pekebun kecil dalam menghasilkan produk tani termasuk penternakan,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Larry menyampaikan geran projek RM12,660 yang diharap mampu untuk membangunkan kawasan rumah panjang.

