BINTULU: Program latihan dan simulasi pengurusan bencana memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta kecekapan pelbagai agensi apabila berlakunya bencana di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program seumpama itu bukan sahaja membantu menyebarkan maklumat dengan lebih meluas malah menjadi wadah untuk menilai serta menambah baik pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar lebih cekap dan tersusun.
“Sebagai sebuah negeri yang luas dan berbeza dari segi geografi Sarawak sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran, ribut dan bencana luar jangka lain.
“Dalam konteks ini persediaan awal serta koordinasi antara agensi adalah kunci utama bagi memastikan keselamatan nyawa dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Program Latihan dan Simulasi Pengurusan Bencana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 yang diadakan di Balai Raya Kampung Jepak, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, program simulasi yang dijalankan bukan sekadar latihan teknikal semata-mata sebaliknya merupakan platform strategik untuk menilai tahap kesiapsiagaan sebenar serta keberkesanan pelan tindakan bencana yang dilaksanakan di semua peringkat.
“Ia turut menguji keupayaan pasukan dari segi komunikasi penyelarasan operasi pengurusan sumber serta kecekapan memberi respons pantas apabila bencana berlaku” jelasnya.
Mohammad Razi turut menegaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) memainkan peranan penting dalam kluster kebajikan dan perlindungan mangsa bencana di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Tanggungjawab ini bukan mudah kerana ia merangkumi penyediaan PPS pengurusan bantuan makanan dan keperluan asas serta sokongan psikososial kepada mangsa yang terkesan” ujarnya.
Namun beliau menekankan bahawa, kejayaan pengurusan bencana tidak bergantung kepada satu jabatan semata-mata sebaliknya, memerlukan penglibatan dan komitmen bersama daripada semua agensi kerajaan badan bukan kerajaan (NGO) sektor swasta dan komuniti setempat.
“Pengurusan bencana ialah tanggungjawab bersama. Setiap individu mempunyai peranan masing-masing daripada pemimpin komuniti yang menjadi sumber maklumat awal hingga sukarelawan yang membantu di lapangan.
“Simulasi seperti ini menjadi platform penting untuk semua pihak memahami tanggungjawab dan memperkukuh koordinasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam menjayakan latihan berkenaan yang disifatkannya mencerminkan semangat kesepaduan dan kebersamaan dalam menghadapi musibah.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap aspek kesejahteraan komuniti dan kebajikan rakyat kami komited untuk terus memperkukuh dasar serta inisiatif berkaitan pengurusan kebajikan semasa dan selepas bencana.
“Fokus kami adalah memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan cara yang pantas telus dan berkesan” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Mohammad Razi turut menyampaikan sumbangan keperluan asas bantuan kebakaran kepada enam ketua isi rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Sebuan Besar Jepak pada 1 Julai lalu, bantuan kebakaran kepada 12 KIR atau mangsa kebakaran di Rumah Charlie Bo Sungai Sawa Sera, Jalan Ulu Sebauh, penyerahan Kenyalang Gold Card kepada lima penerima serta penyerahan kad OKU kepada tiga penerima.


