ARTIKEL

Datuk Amir Md Noor bersama wakil agensi pada mesyuarat kolaborasi PERHEBAT. Foto TVS

Latihan PERHEBAT buka laluan kerjaya baharu bekas anggota ATM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program latihan teknikal berkemahiran tinggi yang dilaksanakan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bukan sahaja membuka laluan kerjaya baharu kepada bekas anggota keselamatan, malah berupaya mengurangkan kebergantungan industri terhadap pakar luar negara yang menelan kos tinggi.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor, berkata bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki disiplin tinggi, ketahanan mental serta pengalaman bekerja dalam persekitaran mencabar, sekali gus menjadikan mereka aset bernilai kepada sektor industri.

Menurut beliau, sudah tiba masanya sektor swasta memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong peralihan kerjaya bekas perwira negara selepas tamat perkhidmatan.

“Banyak syarikat kini melaksanakan konsep train and place, iaitu peserta dilatih terlebih dahulu sebelum ditempatkan bekerja. Selepas tamat latihan, mereka akan dinilai melalui sesi temu duga dan calon yang layak akan terus diserap dengan ganjaran setimpal mengikut kemahiran dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Kolaborasi PERHEBAT di sini, semalam.

Amir berkata, latihan yang ditawarkan merangkumi bidang teknikal berteknologi tinggi seperti penyelenggaraan kereta api, kapal terbang, helikopter serta kapal selam, iaitu sektor yang sebelum ini banyak bergantung kepada kepakaran luar negara.

“Di Sabah, PERHEBAT turut bekerjasama dengan syarikat berkaitan bagi melatih tenaga tempatan dalam penyelenggaraan kapal selam. Usaha ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membangunkan kepakaran tempatan yang mampan,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut bertujuan memberi pendedahan lebih luas kepada pihak industri mengenai peranan PERHEBAT sebagai pemudah cara dalam membangunkan tenaga kerja mahir dalam kalangan bekas anggota keselamatan.

Usaha berterusan itu sekali gus menyokong kebajikan perwira negara dengan meningkatkan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan, di samping memastikan kemahiran serta pengalaman mereka terus dimanfaatkan demi pembangunan ekonomi negara.

Mesyuarat kolaborasi berkenaan melibatkan 13 wakil industri daripada pelbagai sektor yang membincangkan peluang kerjasama strategik dalam aspek latihan kemahiran dan penempatan tenaga kerja mahir. – TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU