Lawak perlu suntik elemen nasihat

KUCHING: Menggunakan pelbagai pendekatan berbeza bagi menyampaikan pesanan dalam lawak atau jenaka adalah satu cara yang terbaik.

Lawak yang dihasilkan oleh bekas pelawak tersohor Sarawak, Datuk Yepni Adenan adalah untuk menyuntik elemen nasihat dan mesej dalam menyampaikan lawak kepada masyarakat.

Katanya, dalam berhibur, perlu ada maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

“Sehingga sekarang, lawak yang dihasilkan oleh saya seperti program radio masam-masam manis masih dicari oleh peminat saya dan pendengar radio.

“Saya bukan menghasilkan jenaka dari segi fizikal seperti mengenakan pakaian perempuan dan sebagainya, namun jenaka saya lebih kepada inti pati mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat,” ujarnya selepas menerima sumbangan FINAS menerusi Program Finas Prihatin 2.0 pada Isnin.

Yepni yang berusia 86 tahun berkata, beliau menceburkan diri dalam dunia seni sejak 1947 dan ia telah banyak memberi kenangan kepada beliau dalam industri ini.

“Semasa Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melawat Sarawak, saya pernah berlakon pentas bersama-sama beliau dan Aziz Satar dan Ibrahim Pendek,” katanya.

Beliau juga pernah menyertai pertandingan lawak iaitu Bakat  Televisyen 1975 dan merangkul naib juara, manakala pelawak terkenal A.R Badul mendapat tempat pertama.

Mengulas mengenai sumbangan daripada Finas dan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings, beliau mengucapkan terima kasih kerana menghargai penggiat seni veteran di Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Finas kerana peka terhadap artis yang sudah tidak lagi aktif dalam industri. Mana-mana pihak pun akan terharu apabila masih ada orang yang ingatkan kita.

“Dalam situasi semasa yang dilanda pandemik Covid-19 ini, saya berharap Finas dapat mendekati penggiat industri seni di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, dalam kunjungan Ahli Perbadanan Finas Datuk Norhayati Ismail ke tempat kediamannya, beliau telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000 dan barangan keperluan daripada Global Ikhwan.