KUCHING: Sarawak akan menjalankan kajian lanjut bagi menentukan potensi kewujudan gas asli di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Lawas, Mukah dan Gedong.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat petunjuk awal kewujudan gas di kawasan berkenaan, namun jumlah sebenar masih belum dapat ditentukan.
Menurutnya, gas asli merupakan sumber tenaga yang berlaku secara semula jadi dan lazimnya ditemui di kawasan yang mempunyai tanah gambut.
“Selain di Lawas, gas asli ini juga ditemui di Gedong. Ketika kerja-kerja cerucuk (piling) dijalankan, terdapat pelepasan gas, namun kita masih tidak mengetahui kuantiti sebenar yang ada.
“Setakat ini, apa yang kita ada hanyalah petunjuk awal. Sebab itu kita memerlukan saintis untuk menjalankan kajian lanjut bagi menentukan jumlah serta potensi sumber gas tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian “SWG Green Complex and Decarbon Hub” di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kajian tersebut juga akan dilaksanakan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di bawah Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty).
Baru-baru ini, terdapat gas mudah terbakar jenis metana dikesan di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) di Kampung Datuk, Kuala Lawas, di utara negeri ini.
Penemuan itu kemudiannya disahkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan.
Sebelum ini, pada Januari lalu juga, kejadian serupa turut dilaporkan di Tapak Pesta Kaul, Oya, dalam Bahagian Mukah apabila gas metana dikesan di kawasan pantai rekreasi tersebut.


