BINTULU: Lawatan lapangan ke fasiliti kesihatan seperti Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Bintulu adalah penting bagi membolehkan kerajaan memahami situasi sebenar di peringkat operasi dan bukan sekadar bergantung kepada isu yang dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian berkata pendekatan turun padang membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi, termasuk isu berkaitan dasar dan pelaksanaannya di negeri ini.


“Seperti yang sering saya tekankan, adalah penting untuk kita melakukan lawatan secara langsung ke fasiliti seperti PKB supaya kita benar-benar memahami apa yang berlaku di lapangan, dan bukan hanya menjawab soalan di DUN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PKB Bintulu, Selasa petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat beberapa isu yang dikenal pasti, termasuk cabaran berkaitan dasar sedia ada.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menyifatkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) amat penting kerana dasar peringkat nasional tidak semestinya sesuai dilaksanakan secara seragam di seluruh negara, khususnya di Sarawak yang mempunyai keluasan geografi serta cabaran operasi yang tersendiri.
Menurutnya, pendedahan terhadap isu-isu berkenaan melalui lawatan tersebut memberikan gambaran lebih jelas mengenai masalah tambahan yang wujud, di samping perkara-perkara tertentu yang memerlukan penjelasan dan penelitian lanjut.
Dr Sim turut memaklumkan bahawa lawatan berkenaan amat bertepatan memandangkan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal M863 dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Datuk Dr Melvin Chung Hsien Liang kerana membangkitkan perkara ini. Ia membolehkan isu-isu berkaitan dibawa ke peringkat jawatankuasa teknikal pada masa yang sesuai,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan untuk pertimbangan khas, termasuk dari segi kelulusan serta pewujudan kategori atau kerangka baharu, bagi membolehkan dasar-dasar tertentu disesuaikan khusus untuk Sarawak.
Langkah tersebut jelasnya, penting bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak menyampaikan perkhidmatan kesihatan dengan lebih cekap dan berkesan selaras dengan keperluan serta realiti di negeri ini.

