ARTIKEL

Lawatan penuh nostalgia Premier Sarawak di Henley Business School

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LONDON: Suasana di Henley Business School pada Selasa menjadi luar biasa apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kembali menjejakkan kaki ke institusi pendidikan yang pernah membentuk perjalanan awal hidupnya.


Lawatan tersebut bukan sekadar acara rasmi, tetapi sebuah perjalanan penuh nostalgia.


Dengan senyuman yang tenang, beliau melangkah masuk ke bangunan sekolah, melalui lorong dan bilik kuliah yang pernah menyaksikan suka duka zaman pengajiannya.


Abang Johari berkata, lawatan ke Henley Business School di bawah Universiti Reading bukan sahaja mengimbau kenangan zaman beliau menuntut ilmu, malah turut membuka ruang kerjasama baharu antara Kerajaan Sarawak dan institusi tersebut dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti perkhidmatan awam negeri.


Menurutnya, program eksekutif yang ditawarkan di Henley Business School amat relevan dengan keperluan masa depan kerana menekankan aspek kepimpinan 5.0, perubahan dalam pengurusan dan penggunaan teknologi terkini.


“Kerajaan Sarawak berhasrat menghantar tiga pegawai setiap tahun untuk mengikuti latihan di sini, dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa.


“Ini adalah cara baharu untuk melatih kakitangan kita agar mampu bersaing dengan perubahan semasa,” katanya selepas melawat Henley Business School di London pada Selasa.


Beliau turut mencadangkan dua bentuk kerjasama iaitu program khas yang disesuaikan dengan keperluan Sarawak dan pembelajaran terbuka yang membolehkan pegawai negeri menimba pengalaman bersama peserta antarabangsa.


Pada masa sama, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila mengenang kembali zaman pengajiannya di United Kingdom lebih empat dekad lalu.


“Saya masih ingat, saya tinggal di asrama ketika menuntut di sini. Banyak perkara yang saya pelajari, antaranya konsep perubahan dan strategi.

Dahulu saya belajar teknologi maklumat menggunakan punch card, tetapi hari ini kita hanya perlu gunakan telefon pintar,” ujarnya.


Lawatan itu menandakan kesinambungan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh kapasiti perkhidmatan awam dengan pendedahan kepada pendekatan global, seiring dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah ekonomi digital dan berdaya saing.-TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU