KUCHING: Seramai 150 peserta dari lapan kampung di Kota Samarahan terlibat dalam Bengkel Kompos Dari Rumah yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Naie Lama, baru-baru ini.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Mang, Kampung Empila, Kampung Niup, Kampung Tanjung Tuang, Kampung Melayu, Kampung Naie Lama dan Kampung Bangka
Semong.
Menurut Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dalam satu kenyataan, bengkel tersebut merupakan
anjuran pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Ekonomi Wanita Muara Tuang serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Naie.

“Program ini merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan LCDA Prihatin 2024
yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan
pengasingan sisa domestik di rumah terutamanya sisa makanan demi kelestarian
alam sekitar.
“Ia juga memberi peluang kepada wanita,
terutamanya kaum ibu, untuk menjana pendapatan tambahan dalam mengharungi
keadaan ekonomi yang tidak menentu dan menampung kos sara hidup keluarga,” katanya sambil memberitahu program ini telah disempurnakan oleh Pemangku Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani.
Jelasnya, bengkel itu juga selari dengan tema #LCDAprihatin 2024 ke arah Kempen Sifar Sisa Makanan Menjelang 2030.
Ia merupakan inisiatif untuk kelestarian alam sekitar seiring dengan saranan Kerajaan Sarawak di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, proses pengkomposan termasuk mengadaptasikan aktiviti pengasingan sehingga kepada tatacara menyimpan sisa makanan tersebut tanpa tindakan yang rumit, bersih dan tidak berbau.
“LCDA dan Persatuan Pembangunan Ekonomi Wanita Muara Tuang dan JKKK Kampung Naie merancang
untuk memperluaskan program ini melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi berkongsi manfaat pendedahan dan peningkatan terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar,” katanya lagi.


