SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dipertanggungjawabkan membina 1,410 unit rumah mampu milik di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan RM524.9 juta.
Pengurus Besarnya, Datuk Sr Zaidi Mahdi, berkata, daripada jumlah itu, 402 unit sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Jun 2027.

“Daripada 402 unit yang sedang dibina, sebanyak 157 unit akan dilengkapi dengan sistem tenaga solar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh ke Betong sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti yang disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Dewan Serbaguna Spaoh, hari ini.
Menurut Zaidi, bagi pembangunan semula bandar, pembinaan 94 unit rumah Blok B2, Darul Hana, Kuching sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang Jun 2027.
Selain itu, LCDA turut merancang pembangunan semula kawasan Bukit Assek, Sibu, bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Menyentuh pembangunan perumahan di Bahagian Betong, beliau berkata, LCDA merancang membina 471 unit rumah mampu milik di Spaoh, selain 75 unit rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Hulu Kabong.
Katanya, sebahagian besar kos pembinaan rumah yang dianggarkan antara RM350,000 hingga RM435,000 seunit ditanggung Kerajaan Sarawak bagi membolehkan rakyat menikmati harga tawaran jauh lebih rendah, iaitu antara RM150,000 hingga RM152,000 seunit.
Dalam perkembangan berkaitan, Zaidi berkata, LCDA turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor perniagaan agro, pertanian dan pembangunan luar bandar menerusi penglibatan dalam 149 projek pertanian membabitkan pembangunan tanah seluas 305,874 hektar.
“Untuk rekod, seramai 27,993 peserta daripada projek Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Ladang Rakyat dan Ladang Sejahtera telah menerima manfaat kewangan keseluruhan berjumlah RM913 juta,” katanya.




