SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) diminta membawa model pembangunan terbaik yang dilaksanakan di Gedong dan Lawas untuk diperluas ke Bahagian Betong, khususnya Spaoh.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Bahagian Betong kini berdepan cabaran persaingan yang semakin sengit susulan sistem perhubungan dan jaringan pengangkutan yang semakin baik.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur dan kemudahan baharu perlu seiring dengan perancangan kerajaan bagi memastikan kawasan itu terus berkembang serta mampu menarik penduduk menetap dan menjalankan aktiviti ekonomi.
“Sebagai contoh, Spaoh akan memiliki Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, selain Taman Agro Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling.
“Namun, jika tiada pembangunan projek perumahan dan kemudahan baharu, penduduk mungkin akan berpindah ke kawasan lain, justeru pembangunan seumpama ini amat diperlukan bagi menyokong perancangan kerajaan.
“Sehubungan itu, saya berharap LCDA dapat mengadakan rundingan bagi membawa model pembangunan terbaik yang telah diaplikasikan di Gedong dan Lawas untuk dilaksanakan di Bahagian Betong, khususnya Spaoh,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi LCDA berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh ke Betong sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dewan Serbaguna Spaoh, hari ini.
Jelasnya, LCDA mempunyai kepakaran, pengalaman, modal serta jaringan pasaran antarabangsa yang boleh dimanfaatkan bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan industri di kawasan berkenaan.
Uggah yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Saban turut berharap LCDA dapat membantu membangunkan industri ayam kampung secara besar-besaran sebagai sebahagian daripada pengukuhan rantaian sektor pertanian.
“Saya juga menyokong usaha LCDA untuk membangunkan Taman Agro di Beting Maro dan Saribas,” ujarnya.
Menyentuh projek perumahan mampu milik di Jalan Bungin, beliau berharap pembangunan itu turut dilengkapi kemudahan tenaga solar bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Terdahulu, Uggah merakamkan penghargaan kepada LCDA atas sumbangan dan peranannya dalam membantu Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sepanjang 45 tahun penubuhan agensi berkenaan.
“Saya cukup kagum dengan kecekapan pentadbiran dan pengurusan LCDA sepanjang tempoh 45 tahun ini, yang akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat.
“Saya percaya LCDA mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang, termasuk pertanian dan perumahan, sekali gus mampu terus menyumbang kepada agenda transformasi Sarawak menjelang 2030,” tegasnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Pengurus Besar LCDA, Datuk Sr Zaidi Mahdi; dan Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Michael Abunawas.





