KUCHING: Kes keganasan terhadap lelaki mencatatkan lonjakan ketara di negara ini meskipun banyak kes yang tidak dilaporkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata lebih 1,000 kes gangguan seksual membabitkan lelaki direkodkan menerusi program advokasi antikeganasan seksual yang dijalankan oleh kementeriannya baru-baru ini.
“Sebelum ini, hanya belasan kes sahaja direkodkan tetapi ia meningkat kepada lebih 1,000 kes selepas program advokasi berkenaan dianjurkan.
“Ramai lelaki enggan melaporkan, dan mereka tidak mengadu kepada polis, sebaliknya tampil membuat aduan di kaunter pusat sokongan sosial (PSS),” katanya pada Program Sambutan Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di Lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.
Nancy menambah bahawa jumlah itu membimbangkan sekali gus menunjukkan golongan lelaki juga terancam dengan keganasan.
Justeru, beliau menegaskan kementeriannya mahu mereka yang menjadi mangsa tampil membuat laporan.
Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata program EVAW sangat bermakna kerana ia meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan komitmen semua pihak untuk mengakhiri keganasan terhadap wanita.
“Kita pun tidak tahu sama ada statistik sedia ada mencerminkan jumlah sebenar kes keganasan di negara ini kerana ramai yang enggan tampil untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Masih ramai khuatir mereka atau anak akan hilang tempat bergantung jika melaporkan kes keganasan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata sempena kempen berkenaan, malam semalam, bangunan seperti Menara KL, TRX Tower dan beberapa jambatan di Putrajaya dan juga di Kuching telah diterangi dengan warna oren, iaitu simbol solidariti global EVAW.
Selain itu, katanya aktiviti-aktiviti menarik telah dirancang di Parlimen, iaitu Pameran EVAW dengan video interaktif dan galeri ilustrasi, edaran ‘arm band’ tanda sokongan solidariti EVAW, Pameran Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), ujian psikologi bagi kesedaran dan sokongan kesihatan mental, Kuiz EVAW, satu cara interaktif untuk mendidik, tandatangan sokongan solidariti untuk kempen EVAW serta pelancaran ‘filter’ Instagram EVAW oleh UNFPA.
Nancy berkata kementeriannya juga akan berterusan menganjurkan program kesedaran sedemikian supaya rakyat tahu ada bentuk keganasan membabitkan fizikal, seksual, ekonomi dan psikologi sekali gus menjadi platform untuk memupuk kesedaran, terutama mangsa supaya tahu yang mereka tidak bersendirian.


