KOTA SAMARAHAN: Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengandungi lebih daripada 13,000 entri atau kata masukan bahasa Melayu negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kamus itu akan dapat dijadikan rujukan dan dimanfaatkan khususnya oleh generasi masa kini serta para pengkaji bahasa untuk mendalami kosa kata Melayu Sarawak.

Katanya, penerbitan kamus bahasa sukuan seperti ini turut menyumbang ke arah pengayaan bahasa kebangsaan melalui penyerapan bahasa sukuan terutama sekali untuk mencari padanan sesuai dengan konsep baharu yang timbul dalam kehidupan semasa.
“Sebagai anak Sarawak, sudah tentu saya berasa amat bangga apabila ada beberapa dialek Sarawak yang diserap ke dalam bahasa Melayu.

“Sebagai contoh adalah perkataan Jerayawara yang terhasil daripada gabungan perkataan jeraya yang bermaksud jalan raya dalam bahasa Melayu Sarawak manakala wara bermakna pertunjukan atau sandiwara.
“Saya juga dimaklumkan bahawa DBP turut memperkenalkan kata merarau yang bermaksud makan tengah hari, dan kata ini diambil daripada bahasa Iban,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus yang mewakilinya sempena Majlis Pelancaran Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) 2023 dan Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara kamus yang telah dihasilkan di negeri ini adalah Kamus Iban-Melayu Dewan, Kamus Melanau Mukah-Melayu Dewan dan Kamus Bahasa Vaie-Bahasa Melayu.
“Bagi saya, usaha penghasilan kamus-kamus ini wajar diteruskan kerana usaha merakamkan kosa kata yang berkaitan dengan adat budaya dan kehidupan suku kaum atau etnik pastinya menjadi daya penarik kepada penyelidik serta para akademik dalam bidang yang berkaitan seperti kesusasteraan, antropologi serta sosiologi untuk menjalankan kajian,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP Md. Johari Hasan; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib; serta wakil yang lain.


