ASAJAYA: Peningkatan kos bahan binaan menyukarkan pelaksanaan program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Beliau menjelaskan kos pembinaan sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang dinaikkan daripada RM78,000 hingga RM79,000 kepada RM85,000 masih belum mencukupi susulan kenaikan harga bahan binaan dan kos pelaksanaan.
“Kementerian berusaha meningkatkan kos pembinaan berkenaan, namun perkara itu masih belum dapat direalisasikan ketika ini.
“Kenaikan harga minyak susulan perkembangan konflik antarabangsa turut memberi kesan kepada kos pengangkutan dan harga bahan binaan, sekali gus menambah tekanan kepada kontraktor.
“Namun saya ingin merakamkan penghargaan kepada kontraktor yang terus melaksanakan projek perumahan berkenaan walaupun berdepan kekangan kos dan berharap semua projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek PPRS dan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), serta lawatan tapak projek masjid Daerah Asajaya di Dewan Tan Sri Datuk Amar Ikhwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, sebanyak 55 rumah di bawah PPRS dilaporkan untuk kawasan Asajaya manakala fasa kedua membabitkan 19 projek bina baharu rumah dan 36 projek baik pulih rumah dengan peruntukan lebih RM2 juta.
Beliau menambah, sebanyak 10 projek baik pulih di bawah PPRMS telah diserahkan kepada penerima.
“Inisiatif ini antara usaha membantu golongan yang memerlukan mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penerima serta keluarga,” jelasnya.
Menurutnya, reka bentuk rumah PPRS turut ditambah baik dengan keluasan meningkat daripada 660 kepada 680 kaki persegi, selain susun atur dalaman lebih teratur bagi meningkatkan keselesaan dan privasi penghuni.
Mengenai 500 lebih PPRS tertunda, Rubiah menjelaskan perkara itu berpunca daripada pertindihan permohonan apabila ada pemohon yang memohon melalui GiatMARA dan Pejabat Daerah dan perkara ini perlu diselaraskan.
“Masalah teknikal, berkaitan tanah yang perlu diselesaikan selain keadaan rumah terlalu usang untuk dibaik pulih maka perlu ditukar ke bina baru dan ambil masa.
Jelas Rubiah lagi, permohonan bantuan juga tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk kelayakan berdasarkan senarai eKasih, manakala kes kecemasan seperti rumah terbakar boleh dipertimbangkan mengikut prosedur kelulusan berkaitan.
Beliau turut menegaskan semua pihak termasuk ketua masyarakat, agensi pelaksana, kontraktor dan penerima bantuan perlu bekerjasama memastikan projek dilaksanakan secara telus, mematuhi spesifikasi serta menepati tempoh yang ditetapkan.
“Oleh itu, saya memohon ketua masyarakat dan ketua kaum membantu memantau permohonan, memastikan tiada isu yang boleh melambatkan pelaksanaan dan semua kriteria dipenuhi.
“Kerajaan akan terus berusaha menambah baik pelaksanaan program perumahan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rubiah turut menyampaikan Geran Khas Projek Mesra Rakyat (PMR) 2026 berjumlah RM330,000 kepada empat masjid dan surau di kawasan Asajaya, iaitu Surau Darul Taqwa Kampung Asajaya Tengah, Masjid Darul Solihin Kampung Asajaya Ulu, Surau Al Muhtadeen Kampung Serpan Ulu dan Masjid Darul Ehsan Kampung Beliong.



