MUKAH: Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak mencapai kejayaan, selain membentuk generasi yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pengurusan Sekolah, Mohd Shafeeq Abdullah berkata, pelajar perlu sentiasa mengingati pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan dorongan demi masa depan mereka.
“Walau setinggi mana kejayaan yang dicapai, anak-anak tidak seharusnya melupakan keluarga yang sentiasa menjadi tempat mereka kembali dalam apa jua keadaan.
“Teruskan berusaha untuk mencapai kejayaan dan jangan sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers Mukah di Dewan CENTEXS Mukah, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan teknologi digital dalam kalangan anak-anak bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan di alam maya.
Ujarnya, penggunaan aplikasi digital tanpa pengawasan yang sewajarnya boleh mendatangkan risiko kepada golongan muda, justeru ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam membimbing mereka menggunakan teknologi secara bijak dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Shafeeq menegaskan, golongan muda perlu dididik supaya lebih cekal dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran.
“Selain kecemerlangan akademik, kita perlu mementingkan penguasaan kemahiran yang mampu membuka peluang kerjaya, termasuk dalam bidang keusahawanan.

“Katanya, bidang kemahiran juga berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan tidak hanya bergantung pada pencapaian akademik semata-mata,” tambahnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers Mukah, Donny Dahlan, berkata kejayaan pelajar memerlukan usaha berterusan serta sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.
Menurutnya, sokongan keluarga menjadi antara faktor penting yang membantu anak-anak mencapai kejayaan, sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran.

“Saya berharap agar ibu bapa terus memberikan galakan kepada anak-anak supaya mereka kekal bersemangat untuk belajar, berusaha bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita masing-masing,” katanya.
Terdahulu, seramai 193 orang pelajar tingkatan lima diraikan dalam majlis itu.
Anugerah Tokoh Tom Bazeley 2026 dianugerahkan kepada Aaenour Qysteena Abdul Rahman.





