ARTIKEL

Rakyat yang akan rugi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MANA-MANA projek mega yang dirancang dan kini sedang dilaksanakan sudah melalui proses perancangan, penelitian dan perbincangan yang panjang.

Tiada projek besar yang dirancang hari ini, akan siap esok. Penyiapan mana-mana projek terutama melibatkan infrastruktur memerlukan tempoh, kesabaran dan keyakinan semua pihak.

Setiap perancangan pasti menerima pelbagai pandangan — penerimaan dan penolakan. Ramai juga bersetuju setelah memahami manfaat jangka panjangnya.

Namun, ada juga yang hanya melihat sisi rugi. Ada-ada sahaja perkara negatif dibangkitkan, dan segala-galanya dikatakan pembaziran.

Perkara ini juga berlaku di kampung. Pasti ada penduduk yang membantah pelbagai projek pembangunan. Kadangkala, untuk membina sebuah jambatan pun pasti ada yang cuba menghalang. Dia akan cuba jadi hero penolakan.

Ada satu kisah. Seorang penduduk kampung merelakan sedikit tanahnya yang bersempadan dengan tanah jiran, digunakan untuk membina parit konkrit bagi mengalirkan air buangan dari rumah selain mengelakkan air bertakung.

Masalah timbul apabila jiran sebelah enggan tanahnya dilupakan walaupun seinci, sedangkan parit itu juga demi kebalkan sendiri.

Yang peliknya, setelah parit itu siap dibina, air buangan dari tandas dan singki dapur rumah jiran itu turut dialirkan ke dalam parit berkenaan. Dia menolak projek itu tetapi tidak pula monolak manfaatnya. Itu berlaku di peringkat kampung.

Di peringkat lebih tinggi pun, penolakan juga berlaku. Bukan sekali dua ada wakil rakyat menggesa projek mega yang memberi banyak manfaat kepada rakyat, termasuk dirinya sendiri, dibatalkan.

Baru-baru ini, wakil rakyat pembangkang menggesa Kerajaan Sarawak membatalkan dan menghentikan tiga projek utama bernilai berbilion ringgit — Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu, Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Raya Kuching (KUTS) dan pelabuhan laut dalam baharu di Tanjung Embang. Ada juga yang mahu KUTS yang berteraskan ART dibatalkan dan diganti dengan projek lain.

Gesaan itu mungkin kedengaran berhemat, namun sebelum menarik brek, rakyat wajar bertanya, apa yang akan hilang dan siapa yang menanggung kerugiannya?

Kuching bukan lagi bandar kecil. Ia sebuah bandar raya. Kenderan dianggarkan akan meningkat 41 peratus, daripada 317,400 unit pada 2015 kepada 449,200 unit menjelang 2030. Hanya beberapa tahun lagi.

Jalannya sama, kenderaan pasti akan bertambah dan kesesakan tidak pernah mengenal sesiapa pun. Tanpa pengangkutan awam yang sistematik, pekerja, pelajar dan warga emas akan terus terkurung di dalam kenderaan masing-masing disebakan kesesakan teruk.

Penduduk Kuching juga dijangka mencecah sejuta orang menjelang 2030. Dengan itu, bandar yang membersar seperti Kuching tidak boleh terus bergantung kepada kenderaan persendirian.

ART bukan pilihan sembarangan. Perunding pengangkutan menyifatkan ART jauh lebih murah berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) yang memerlukan pembinaan landasan, selain sesuai untuk bandar yang permintaannya tinggi dengan permintaan penumpangnya tinggi.

Kerajaan Negeri menyatakan kos ART kira-kira satu pertiga daripada LRT. Ini keputusan yang menyesuaikan teknologi dengan saiz bandar, bukan sekadar mengejar kemegahan.

Manfaatnya juga merentasi sempadan bandar. KUTS direka untuk menghubungkan kawasan kediaman padat, pusat perniagaan, kawasan perindustrian, institusi pengajian tinggi dan tempat pelancongan, sambil membuka peluang ekonomi dan pekerjaan.

Fasa pertama meliputi 69.9 kilometer, tiga laluan dan 28 stesen dengan 38 unit ART dan 55 bas sokongan. Bagi penduduk Samarahan dan Serian yang berulang-alik setiap hari, ini bukan angan-angan, tetapi masa mereka akan dipendekkan dan perbelanjaan dikurangkan.

Kita juga perlu jujur tentang realiti bahawa projek ini sudah jauh melangkah — hanya menunggu siap. Kerja pembinaan sedang berjalan dan paket satu di Samarahan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Membatalkannya bermakna membiarkan jalan, stesen dan kemudahan yang telah dibina terbengkalai, sementara wang rakyat yang telah dilaburkan tidak membuahkan hasil. Ini bukan yang rakyat mahu.

Menggantikan projek yang hampir siap dengan projek baharu juga membawa risiko tersendiri — kajian baharu, tender baharu, tempoh menunggu yang lebih panjang dan tiada jaminan hasilnya lebih baik. Sedangkan rakyat Kuching sudah terlalu lama menantikan pengangkutan awam yang sepatutnya.

Hal yang sama wajar difikirkan bagi lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang. Infrastruktur sebegini tidak dibina untuk keperluan hari ini, tetapi untuk menampung pertumbuhan dua atau tiga dekad akan datang.

Negeri yang lewat bersedia akan ketinggalan dan peluang pekerjaan akan berpindah ke tempat lain. Kos yang besar memang wajar dipantau, tetapi nilai jangka panjangnya perlu ditimbang sama.

Tidak bermakna projek mega tidak boleh dipersoalkan. Kritikan yang membina amat diperlukan kerana ia memperbaiki projek — kos mesti telus, kualiti dipantau, jadual dipatuhi dan tambang dipastikan mampu milik.

Itulah peranan pembangkang yang sihat. Tetapi gesaan membatalkan segala-galanya bukan kritikan. Ia menghukum rakyat yang menantikan perkhidmatan itu.

Kembali kepada kisah parit tadi. Jiran yang enggan memberi tanah itu akhirnya tetap menikmati parit yang dibina, malah membuang air kotornya ke situ. Pembangunan memang begitu. Manfaatnya sampai kepada semua, termasuk mereka yang paling lantang membantah. Bezanya, ada yang memilih untuk bersama-sama membina dan ada yang hanya menunggu hasil.

Maka biarlah ART dijual di jalan raya, bukan dihukum di atas kertas. Biarlah pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang menerima kapal, dan biar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu beroperasi dahulu.

Biar penumpang yang menilai, bukan retorik. Jika ada kelemahan, baiki. Jika ada kejayaan, hebahkan tetapi jangan berhenti di tengah jalan kerana yang rugi bukan ahli politik, tetapi rakyat yang masih menunggu di perhentian.

BERITA LAIN

Dua pelajar berani bantu guru cedera

KUCHING: Dua pelajar sebuah sekolah swasta di sini menunjukkan keberanian apabila tampil membantu seorang guru wanita yang cedera ketika cuba merampas objek tajam daripada seorang

BERITA TERBARU