KUCHING: Dua pelajar sebuah sekolah swasta di sini menunjukkan keberanian apabila tampil membantu seorang guru wanita yang cedera ketika cuba merampas objek tajam daripada seorang pelajar berusia 16 tahun dalam kejadian semalam.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, keberanian kedua-dua pelajar itu wajar dihargai, begitu juga tindakan guru berkenaan yang berusaha melindungi pelajarnya ketika kejadian.
“Saya turut mendoakan agar guru yang cedera segera pulih,” katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan dan bertemu pengetuanya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kejadian serta keadaan warga sekolah, pagi tadi.
Wee turut menghargai usaha pihak sekolah membantu pelajar dan kakitangan kembali menjalani rutin persekolahan seperti biasa. Kehadiran pelajar di sekolah berkenaan hampir mencecah 80 peratus hari ini, sehari selepas sesi persekolahan ditamatkan lebih awal susulan kejadian itu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video, gambar atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes berkenaan kerana perbuatan itu boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, perlindungan identiti bukan sekadar melibatkan nama dan alamat, malah turut merangkumi maklumat mengenai sekolah, keluarga serta bahan visual yang boleh menyebabkan kanak-kanak dikenal pasti.
Beliau turut menggesa orang ramai menghentikan penyebaran rakaman kejadian dan mengelakkan spekulasi yang boleh menambahkan tekanan emosi kepada individu terlibat, keluarga serta warga sekolah.
Pada masa sama, sokongan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi perlu diberikan melalui kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan golongan profesional, selaras dengan Pelan Tindakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak Kuching Selatan (CFCI).
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
Menurut maklumat awal siasatan, pelajar terbabit dilaporkan membawa mercun dan mencederakan guru berkenaan menggunakan kapak.
Guru itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pihak sekolah memaklumkan keadaannya semakin pulih serta tidak mengalami kecederaan kritikal.
Pelajar yang didakwa terlibat pula berada dalam tahanan polis dan tidak lagi berstatus pelajar aktif di sekolah berkenaan.
Susulan kejadian itu, pihak sekolah memperketat kawalan keselamatan melalui penempatan tiga anggota polis bantuan serta pemeriksaan terhadap individu yang memasuki kawasan sekolah.
-tamat-




