PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji tindakan pantas Sarawak menangani jerebu serantau serta komitmen negeri itu melaksanakan inisiatif kelestarian alam sekitar.
Pengiktirafan itu disuarakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Mampan (SDG) Negara 2026 di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menghadiri mesyuarat itu mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Anwar turut memuji pelaksanaan pelbagai inisiatif Sarawak berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya usaha memelihara alam sekitar.
Mesyuarat itu menghimpunkan menteri Kabinet Persekutuan, Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi membincangkan pelaksanaan serta hala tuju dasar pembangunan mampan negara.
Perbincangan turut menilai kemajuan pelaksanaan SDG di peringkat nasional dan negeri, selain memperkukuh kerjasama bagi mencapai pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan.
Penyertaan Sarawak mencerminkan komitmen negeri itu menyokong agenda pembangunan mampan negara, sambil mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
/tamat/




