SIMANGGANG: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menyantuni keluarga kurang berkemampuan menerusi program ziarah prihatin di Rumah Panjang Rangga, Sungai Tenggak A, Undop, hari ini.
Program itu menyaksikan penyerahan bakul makanan, barangan keperluan dapur dan keperluan asas rumah kepada beberapa keluarga yang memerlukan.
Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling berkata, bantuan disalurkan susulan maklumat penduduk setempat mengenai kesusahan dihadapi keluarga berkenaan.
Selain bantuan makanan, JAKKSA turut menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas bagi memudahkan pergerakannya.
Gerald berharap sumbangan itu dapat meringankan beban kewangan keluarga terbabit serta memberikan keselesaan kepada penerima.
Seorang penerima, Liobar Sapit, menzahirkan rasa syukur kerana bantuan berkenaan dapat membantu memenuhi keperluan hariannya sepanjang bulan ini.



