MUKAH: Penyerahan Buku Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA) kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menjadi antara fokus lawatan kerja Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sarawak, SAC Roselina Daud, di sini, hari ini.
Modul itu menjadi panduan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) menyampaikan ceramah dan maklumat berkaitan pencegahan jenayah kepada kanak-kanak serta remaja.
Roselina menegaskan kepentingan pengurusan dan penyimpanan modul berkenaan diberi perhatian oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) di peringkat daerah.

“Sekolah yang tidak termasuk dalam jadual lawatan PPS perlu diberi perhatian menerusi lawatan atau program sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Langkah ini bagi memastikan semua sekolah berpeluang menerima maklumat dan pendidikan pencegahan jenayah tanpa ada yang terpinggir,” katanya.
Beliau turut menyampaikan amanat kepada warga IPD Mukah mengenai pelaksanaan tugas pencegahan jenayah dan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan aspek kebajikan dan pergerakan anggota, pemeriksaan berkala Polis Bantuan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN), serta usaha mengatasi kekangan peruntukan bagi menyediakan bahan pameran dan ceramah berkualiti.
Roselina turut mengingatkan pegawai dan anggota supaya sentiasa mengamalkan nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Selain itu, warga pasukan digalakkan terus menimba ilmu, mempelajari perkara baharu dan meningkatkan keupayaan diri bagi memperkukuh mutu perkhidmatan serta kecemerlangan organisasi.




