KUCHING: Sarawak dan Belanda meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan lapangan terbang, teknologi hijau dan pengangkutan mampan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Belanda ke Malaysia, Michel Deelen, kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Kunjungan itu merupakan yang pertama bagi Deelen sejak memegang jawatan diplomatik berkenaan, sempena lawatan kerjanya ke Kuching dari 21 hingga 22 Oktober.
Dalam pertemuan itu, Lee mengetengahkan kerjasama sedia ada, khususnya penglibatan Netherlands Airport Consultants (NACO) dalam cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (LTAKB).
NACO, firma perunding penerbangan dari Belanda, dilantik Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan yang selesai pada suku pertama 2026.
Lee turut menyatakan hasrat untuk mempelajari pengalaman Belanda dalam pembangunan Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam serta kawasan aerotropolis di sekitarnya.
Deelen menyambut baik inisiatif pembangunan Sarawak dan menyatakan kesediaan Belanda memudah cara hubungan lebih erat, termasuk kemungkinan mengadakan lawatan teknikal ke Lapangan Terbang Schiphol dan kemudahan berkaitan.
Beliau turut berkongsi usaha memperkukuh hubungan dengan Sarawak menerusi program kerjasama industri selama tiga tahun yang membabitkan syarikat dan agensi berkaitan.
“Program ini bertujuan menggalakkan penyertaan perniagaan, pertukaran teknikal dan peluang pelaburan yang lebih luas,” katanya.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai teknologi hidrogen hijau, pengangkutan awam mampan, pembangunan pelabuhan dan penyelesaian pengangkutan baharu.
Lee turut memberi taklimat mengenai kemajuan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang bakal memperkenalkan kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen serta bas perantara hidrogen.
Beliau mengalu-alukan hubungan berterusan dengan Belanda dan berharap pertemuan itu membuka ruang kepada kerjasama praktikal antara Sarawak dengan syarikat dari negara berkenaan.




