MUKAH: Penyediaan menu sihat, seimbang dan berkhasiat untuk kanak-kanak menjadi fokus Bengkel Penyediaan Menu Sihat Tabika Perpaduan bagi 2027 anjuran Pejabat Perpaduan Bahagian Mukah di Tabika Perpaduan Judan, di sini, semalam.
Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah, Mohammad Raffie Mohammad Isma berkata, bengkel itu merupakan usaha berterusan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) meningkatkan kualiti pengurusan Tabika Perpaduan, khususnya aspek pemakanan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Perancangan menu yang sesuai penting bagi memastikan kanak-kanak memperoleh nutrien mencukupi untuk menyokong tumbesaran, perkembangan fizikal dan keupayaan pembelajaran.
“Bengkel ini dilaksanakan selaras dengan arahan JPNIN Negeri Sarawak yang menekankan empat garis panduan utama, iaitu pemakanan seimbang, kesesuaian menu, kos penyediaan serta kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.
Guru dan penolong guru perlu memahami pemilihan bahan makanan serta perancangan menu mengikut keperluan pemakanan dan peringkat umur kanak-kanak.
Aspek pemakanan seimbang diberi keutamaan bagi memastikan setiap hidangan mengandungi gabungan makanan yang sesuai dan membekalkan nutrien penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.
Kesesuaian menu pula melibatkan pemilihan hidangan berdasarkan keperluan pemakanan dan peringkat umur, selain kepelbagaian makanan bagi memenuhi keperluan harian mereka.
“Perbincangan dua hala turut memberi tumpuan kepada penggunaan bahan mentah yang mudah diperoleh bagi memudahkan penyediaan makanan serta memastikan perancangan menu dapat dilaksanakan secara praktikal dan berterusan,” katanya.
Peserta turut diberi pendedahan mengenai perancangan perbelanjaan secara berpatutan tanpa menjejaskan kualiti dan nilai pemakanan hidangan. Kebersihan serta keselamatan makanan juga ditekankan bagi memastikan bahan mentah dan makanan dikendalikan secara bersih dan selamat.
Raffie berkata, hasil perbincangan dan keputusan bengkel itu akan dikemukakan kepada Ibu Pejabat JPNIN Negeri Sarawak untuk penelitian dan penyelarasan sebelum menu bagi 2027 dilaksanakan.
“Penyelarasan ini penting bagi memastikan penyediaan menu sihat di Tabika Perpaduan dilaksanakan secara seragam, terancang dan berkesan mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.




