KUCHING: Kemungkinan pengumuman berkaitan Gabungan Parti Sarawak (GPS) esok mencetuskan spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, namun Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak mengesahkan perkara itu.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau tidak pasti sama ada mesyuarat GPS akan berlangsung seperti yang diperkatakan.
“Saya tidak pasti sama ada terdapat mesyuarat GPS kerana kebiasaannya ia hanya melibatkan presiden dan setiausaha empat parti komponennya.
“Saya bukan presiden atau setiausaha, jadi saya tidak mengetahui perkara itu. Bagaimanapun, saya diminta mewakili Premier Sarawak untuk merasmikan acara regata esok petang pada pukul 3,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan perkembangan berkaitan GPS esok, Karim berkata ia mungkin bukan mesyuarat, sebaliknya satu pengumuman.
“Daripada apa yang saya lihat, ia mungkin satu mesyuarat, mungkin juga tidak, tetapi mungkin satu pengumuman,” katanya.
Terdahulu, beliau ditanya sama ada pembubaran DUN Sarawak akan diumumkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri akan datang.
Karim tidak mengesahkan kemungkinan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai tarikh pembubaran DUN.
Beliau hanya memberikan analogi bahawa pembentangan bajet oleh Perdana Menteri lazimnya diadakan pada hari Jumaat.
Menurutnya, penetapan tarikh penamaan calon, pengundian dan tempoh berkempen terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran DUN dimaklumkan secara rasmi.
/tamat/




