BINTULU: Kekangan kewangan keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya dengan adanya inisiatif pendidikan seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata pendidikan ialah pelaburan penting yang mampu mengubah kehidupan, meningkatkan taraf hidup keluarga dan membentuk masa depan negeri.
Menurutnya, pelaksanaan FTES mencerminkan usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, terutama bagi pelajar yang memenuhi syarat kelayakan dan mengikuti program yang ditetapkan di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata inisiatif itu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar berpotensi untuk mengejar cita-cita tanpa menjadikan kekangan kewangan keluarga sebagai alasan mengetepikan hasrat melanjutkan pengajian.

“Kerajaan boleh menyediakan peluang, tetapi kamu sendiri yang perlu merebut peluang itu.
“Tugas kamu sekarang ialah belajar bersungguh-sungguh, membina asas yang kukuh dan mempersiapkan diri untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Restu Ilmu dan penyerahan sumbangan beg sekolah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, di sini semalam.
Johnny Pang berkata Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga profesional dan bakat tempatan dalam bidang strategik seperti kejuruteraan, teknologi, tenaga dan ekonomi digital bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar supaya memberi tumpuan kepada pelajaran, membina disiplin diri dan menetapkan matlamat yang jelas sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan serta kerjaya pada masa depan.
Beliau menegaskan kejayaan dalam pendidikan bukan hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi turut bergantung pada usaha berterusan untuk meningkatkan pengetahuan, menguasai kemahiran dan membangunkan potensi diri.

Pada majlis yang sama, Johnny Pang menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Bintulu sebagai tanda sokongan dan galakan menjelang peperiksaan berkenaan.
Beliau berharap sumbangan itu dapat menyuntik semangat pelajar untuk membuat persediaan rapi, meningkatkan keyakinan diri dan berusaha mencapai keputusan yang membanggakan.
Menurutnya, usaha membantu pelajar mendapatkan pendidikan yang baik memerlukan sokongan bersama daripada kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan calon SPM supaya tidak mudah berputus asa apabila berhadapan kesukaran, sebaliknya menjadikan cabaran sebagai dorongan untuk terus berusaha dan memperbaiki pencapaian diri.
Menurutnya, peperiksaan SPM antara langkah penting yang membuka laluan kepada pelbagai pilihan selepas tamat persekolahan, termasuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi atau mengikuti latihan kemahiran yang bersesuaian.





