BAITULMAQDIS: Lebih 60,000 rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa semalam di Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel, namun tiada suasana perayaan.
Sebaliknya mereka meratapi mangsa perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza selama lebih enam bulan sekarang.
Kontinjen besar anggota polis Israel dikerahkan ke pintu masuk, persekitaran dan lorong-lorong bandar, menurut Agensi Anadolu.
Ia memetik Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis dalam satu kenyataan sebagai menyebut, lebih 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa pada Hari Raya Aidilfitri, perayaan utama umat Islam selepas berakhirnya bulan Ramadan yang mulia.
Menurut koresponden Anadolu, walaupun hujan, umat Islam mula sampai ke masjid sebelum subuh.
Bagaimanapun, saksi memberitahu Anadolu bahawa polis Israel menyerang beberapa individu ketika mereka masuk dan keluar masjid di kawasan Bab al-Asbat dan Bab al-Silsila di Kota Lama.
Polis Israel menghalang sebahagian daripada mereka daripada memasuki Al-Aqsa, yang memaksa mereka berdoa di pintu luar masjid.
Israel menyekat akses umat Islam Palestin ke Masjid Al-Aqsa di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Tebing Barat akibat serangan berterusan tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci di dunia bagi umat Islam.
Orang Yahudi memanggil kawasan itu Temple Mount, yang mereka dakwa adalah tapak dua saumaah Yahudi pada zaman dahulu.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.
Ia menggabungkan seluruh kota Baitulmaqdis pada 1980 dalam langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – BERNAMA-ANADOLU





