KUCHING: Penerbangan terus untuk pembelian dan penghantaran barangan perubatan dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menjimatkan masa, kata Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, barangan yang dibeli dari China itu merupakan peralatan dan keperluan yang amat diperlukan di hospital-hospital dan petugas barisan hadapan untuk menghadapi wabak Covid19 ini. “Kita membeli 50,000 alat perubatan gogel, semua memang digunakan di hospital.
“Kita juga ada 125,000 penutup hidung (aspirator) kerana ini amat penting sekali apabila paru-paru sudah menampakkan simptom. Kita sedia maklum tentang kekurangan alat itu,” ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kelmarin.
Tambahnya, mereka juga mempunyai 900,000 unit topeng pembedahan dan ia hampir mencecah satu juta. “Ini adalah untuk kegunaan di hospital.
Kalau saya tidak silap ia adalah jenis standard M95. “Keseluruhannya, ia memang mahal yang saya tahu harga beratus-ratus dan kita mempunyai 50,000 unit topeng tersebut dan masalah kekurangan ini kerana selepas diguna, ia akan terus dibuang,” jelasnya.
Beliau mendedahkan, dengan adanya penghantaran baharu ini, mereka tidak lagi mempunyai masalah besar dari segi kekurangan peralatan.
Katanya, dengan adanya keperluan ini, sedikit sebanyak ia dapat melindungi petugas barisan hadapan pada masa ini kerana mereka juga mempunyai rasa takut apabila berinteraksi secara langsung dengan pesakit positif Covid-19.
“Jadi sedikit sebanyak mereka akan berasa lega. Sebab itu saya hadir ke sini atas arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menerima barang-barang yang datang hari ini.
“Harapan kita, dengan barang-barang keperluan ini, sedikit sebanyak dapat membantu petugas barisan hadapan,” jelasnya lagi. Ditanya berapa lama tempoh barangan tersebut bertahan, beliau berkata, tempoh itu terpulang kepada berapa banyak kes yang diurus. “Saya harap tidak berlaku kluster besar pada masa akan datang,” katanya lagi.


