KUCHING: Pembinaan Lebuhraya Pan Boreno Sarawak kini sudah mencatat 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku pertama tahun 2023.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat beberapa kekangan perlu diambil kira dalam memastikan lebuh raya tersebut mampu dibuka sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
“Setakat ini sudah lebih 80 peratus (Pan Borneo Sarawak siap) secara keseluruhan, kita masih menjangkakan hujung tahun ini dapat disiapkan sepenuhnya.
“Sekiranya terdapat masalah, seksyen terpaksa disiapkan dalam fasa pertama tahun depan namun pihak lita bersama JKR Sarawak dan para kontraktor berusaha mencari jalan dan mencapai sasaran untuk menyiapkan keseluruhan penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2022 di Pusat Khidmat N7 Samariang, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau mendedahkan antara perkara lain yang menjejaskan proses kelambatan pembinaan lebuhraya tersebut termasuk kekurangan tenaga pekerja, kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan sumber bekalan kuari.
“Walaupun sempadan sudan dibuka kita masih belum dapat kemasukan pekerja-pekerja asing, di mana jumlah diperlukan adalah lebih 2,000.
“Keduanya bahan-bahan binaan, ada diantaranya naik harga dengan mendadak manakala ketiga disebabkan kuari tidak menckupi maka tidak cukup bekalan dari segi batu-batuan dan bahan-bahan binaan lain,” jelasnya.
Sementara itu katanya, beberapa gerak kerja telah diberhentikan sementara waktu demi faktor keselamatan menjelang Hari Raya Aidilfitri serta mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan lalu lintas dijangka sesak.
Tambahnya, kelajuan jalan turut dikurangkan daripada 90 menjadi 80 di mana ia sudah pun digazetkan untuk mengurangkan berlakunya kemalangan.
“kita telah memberhentikan kerja-kerja yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, cuma kerja-kerja kecemasan sahaja dapat dilaksanakan sepanjang hari raya dalam tempoh-tempoh tertentu,” ujarnya.
