ARTIKEL

????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????

Ledakan solar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

I NDIA kini muncul sebagai antara negara paling agresif mengembangkan tenaga solar, seiring komitmennya mengurangkan pelepasan karbon dan memenuhi permintaan tenaga penduduk yang terus meningkat.

Dalam tempoh sekitar sedekad, jutaan panel solar dipasang di bumbung rumah, ladang solar berskala besar dan kawasan separa gurun.

Namun di sebalik naratif kejayaan ini, satu persoalan besar mula timbul; Apakah yang akan berlaku kepada panel-panel ini apabila ia mencapai akhir hayatnya?

Kebanyakan panel solar mempunyai jangka hayat sekitar 20 hingga 25 tahun.

Ini bermakna gelombang besar sisa panel solar dijangka muncul dalam dua dekad akan datang, apabila pemasangan besarbesaran yang dilakukan hari ini mula tamat tempoh.

Panel solar bukan sekadar kepingan kaca dan logam biasa. Ia mengandungi bahan seperti silikon, aluminium, tembaga dan perak, serta dalam sesetengah kes unsur berbahaya seperti plumbum dan kadmium. Komposisi yang kompleks ini menjadikan proses kitar semula jauh lebih rumit berbanding e-sisa lain.

Isu ini diketengahkan dalam laporan BBC bertajuk ‘India’s solar boom faces a hidden waste problem.’

Laporan tersebut menyatakan bahawa sebahagian besar panel solar yang digunakan di India adalah panel import, direka tanpa mengambil kira keperluan kitar semula di hujung hayat. Lapisan pelekat dan bahan kimia yang digunakan dalam panel turut menyukarkan pemisahan komponen.

Akibatnya, kos kitar semula sering kali lebih tinggi daripada nilai bahan yang boleh dipulihkan.

Dalam keadaan ini, banyak panel rosak hanya disimpan di gudang terbuka atau disalurkan ke sektor pelupusan tidak formal.

Lebih membimbangkan, pakar alam sekitar yang dipetik media antarabangsa itu memberi amaran bahawa pengurusan sisa solar yang tidak terkawal mampu menimbulkan risiko pencemaran tanah dan air.

Laporan itu menyatakan bahawa tanpa insentif kewangan atau mandat tegas kerajaan, pemilik ladang solar cenderung memilih pilihan paling murah iaitu menyimpan atau melupuskan panel secara tidak rasmi.

Dalam beberapa kes, panel lama dileraikan secara manual untuk mengambil bingkai aluminium, manakala bahagian lain dibuang begitu sahaja.

Panel yang pecah atau dilupuskan secara tidak selamat berpotensi melepaskan bahan toksik, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi lokasi ladang solar berskala besar.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa sektor tidak formal, yang sebelum ini dikaitkan dengan pengurusan e-sisa elektronik, kini mula mengambil peranan dalam pengendalian sisa solar.

Pekerja dalam sektor ini juga sering terdedah kepada bahan berbahaya tanpa perlindungan mencukupi, sekali gus menimbulkan risiko kesihatan jangka panjang.

Dari sudut dasar, India sebenarnya mempunyai peraturan sisa elektronik. Namun untuk tempoh yang lama, panel solar tidak diklasifikasikan secara jelas di bawah rangka kerja tersebut. Hanya melalui ‘lectronic Waste Management Rules 2022,’ panel solar secara rasmi dimasukkan ke dalam skop tanggungjawab pengeluar.

Walaupun langkah ini penting, pelaksanaannya masih perlahan dan tidak seragam di peringkat negeri.

Dalam satu wawancara dengan BBC, seorang pegawai alam sekitar India mengakui lonjakan tenaga solar berlaku terlalu pantas berbanding keupayaan sistem kawal selia sedia ada.

“Kami menang perlumbaan pemasangan, tetapi ketinggalan dalam merancang penamatnya,” katanya, merujuk kepada isu sisa panel solar.

Dalam konteks tersebut, panel solar berisiko menjadi warisan toksik jika pembangunan tenaga boleh baharu tidak disertai sistem pengurusan sisa yang mampan dan kerjasama teknologi rentas sempadan.

Di samping itu, laporan tersebut turut menyingkap dimensi global yang jarang dibincangkan.

Peralihan kepada tenaga hijau sering didorong oleh desakan antarabangsa dan komitmen iklim global. Namun dalam rantaian nilai tenaga bersih, beban sisa dan cabaran pelupusan kerap ditanggung oleh negara membangun, yang mempunyai kapasiti kitar semula terhad serta kos penguatkuasaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, panel solar berisiko menjadi warisan toksik jika pembangunan tenaga boleh baharu tidak disertai sistem pengurusan sisa yang mampan dan kerjasama teknologi rentas sempadan.

Justeru, perkara yang berlaku di India ini mungkin boleh menjadi iktibar negara kita untuk mengelak pencemaran yang tidak diingini dan mencari penyelesaian praktikal untuk akses elektrik asas.

Contohnya seperti Sarawak, negeri ini mengambil pendekatan lebih bersifat pelengkap, dengan menjadikan hidro sebagai campuran tenaga negeri yang disokong oleh solar serta sumber boleh baharu lain.

Pendekatan kepelbagaian sumber ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada satu teknologi dan memberi ruang kepada perancangan jangka panjang yang lebih berhemah

. Namun begitu, isu sisa panel solar tidak boleh dipandang ringan walaupun skala pemasangan di negara kita masih kecil berbanding India.

Panel yang dipasang hari ini tetap menjadi sisa dalam tempoh dua dekad akan datang. Tanpa perancangan awal, Malaysia berisiko mengulangi cabaran yang kini sedang dihadapi India.

Setakat ini, perbincangan awam berkenaan kitar semula panel solar di Malaysia masih terhad dan rangka perundangan khusus belum menyeluruh.

Bezanya, negara kita masih mempunyai kelebihan dari segi masa.

Selain itu banyak sistem solar luar grid dipasang melalui program kerajaan, membolehkan pemantauan dan inventori dilakukan dengan lebih sistematik.

Dalam pada itu BBC turut menekankan keperluan mendesak untuk inovasi teknologi kitar semula panel solar.

Tanpa pelaburan serius dalam penyelidikan dan infrastruktur, dunia berisiko mengulangi kegagalan industri plastik, iaitu kitar semula sering dilaungkan tetapi realitinya terhad.

Bagi Malaysia, cabaran ini mampu membuka peluang yang luas, misalnya industri kitar semula panel solar berpotensi mewujudkan pekerjaan, memulihkan bahan bernilai dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.

Sesungguhnya, tenaga hijau bukan automatik bermakna bebas masalah. Ia memerlukan tadbir urus yang teliti, dasar berpandangan jauh dan keberanian mengakui kelemahan sebelum krisis berlaku. India kini sedang belajar dengan cara sukar apabila kejayaan memasang panel dalam jumlah besar tidak disertai kesiapsiagaan menguruskan sisanya.

BERITA LAIN

Singapura nasihat rakyat tangguh perjalanan ke Arab Saudi

SINGAPURA: Kerajaan Singapura menerusi Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warganya supaya menangguhkan semua perjalanan ke Arab Saudi berikutan peningkatan ancaman keselamatan di rantau berkenaan. Langkah

BERITA TERBARU