ARTIKEL

Julaihi menunjukkan dokumen ucapan penggulungan pada sidang media di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Leka dengan tuntutan PETROS sebaliknya PETRONAS beri keutamaan kepada syarikat Itali & Perancis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) masih memperhalusi rundingan dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk memuktamadkan perjanjian komersial selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, adalah menjadi harapan pihaknya agar perjanjian ini dapat dimuktamadkan demi kepentingan bersama, lebih-lebih lagi dalam usaha Sarawak untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).

“Kami percaya PETRONAS boleh memainkan peranan penting bersama PETROS untuk menjayakan SGR.

Maju Sarawak, Majulah Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Julaihi menambah beliau berasa pelik kerana sejak beberapa minggu lalu, PETRONAS telah mengumumkan perjanjian kerjasama baharu dengan rakan antarabangsa dari Itali dan Perancis.

“Namun, sehingga kini mereka masih tidak menunjukkan keutamaan atau keazaman yang sama untuk memuktamadkan perjanjian yang telah lama berlarutan dengan PETROS, iaitu entiti yang dipertanggungjawabkan untuk mewakili kepentingan Sarawak.

“Keadaan ini menggambarkan pepatah Melayu, ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’ – mengutamakan rakan luar negara tetapi mengabaikan tanggungjawab terhadap Sarawak yang sudah lama tertangguh,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Sarawak tetap komited untuk berunding secara profesional dan kolaboratif, namun berharap agar semangat kerjasama yang telah dipersetujui tidak hanya kekal sebagai dokumen, tetapi diterjemah dalam tindakan segera oleh semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, di Sarawak kawal selia pengedaran gas dan aktiviti berkaitan adalah tertakluk kepada Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016 yang berfungsi setara dengan Akta Bekalan Gas 1993, iaitu undang-undang Persekutuan yang tidak terpakai di Sarawak.

“Justeru, semua pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan dengan pengedaran dan pembekalan gas perlu memohon lesen di bawah Seksyen 7, DGO 2016.

“Kegagalan mematuhi keperluan pelesenan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 (kes jenayah) atau Seksyen 21A (tuntutan sivil) ordinan tersebut, yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Beliau memaklumkan pada 16 Ogos lalu, kementeriannya telah mengeluarkan Notis Penalti Kewangan kepada entiti yang beroperasi tanpa lesen sebagai langkah penguatkuasaan dan untuk memastikan pematuhan penuh terhadap DGO 2016.

Kata Julaihi, beliau ingin menegaskan bahawa mana-mana pemain gas huluan yang menjalankan aktiviti di bawah Seksyen 7, DGO 2016, hendaklah menandatangani Perjanjian Pembelian Gas (GPA) bersama PETROS.

“Salinan perjanjian ini hendaklah disertakan kepada kementerian saya bagi tujuan permohonan dan pembaharuan lesen.

“Setakat ini, sebanyak 14 pemain gas huluan telah diberikan lesen Retail of Gas di bawah Seksyen 7(g), DGO 2016,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU