MUKAH: Seorang lelaki berusia 51 tahun cedera pada telinga kanan selepas dipercayai ditetak menggunakan parang oleh anak saudaranya sendiri dalam kejadian di kawasan Jeti Perahu Kampung Litong di sini, semalam.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki tempatan, 34, yang bekerja sebagai nelayan kira-kira 11 pagi pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah selepas keluar menangkap ikan pada awal pagi.
“Mangsa memaklumkan bahawa dia ditetak oleh seorang lelaki di kawasan tebingan sungai Kampung Litong.
“Mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Polis turut merampas sebilah parang berhulu hitam berukuran kira-kira 41 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku menetak mangsa menggunakan parang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian apabila mangsa menuduh suspek terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Mukah pada 16 Oktober bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari sehingga 20 Oktober ini,” jelasnya.
Polis akan merakam percakapan mangsa dan pegawai perubatan yang merawatnya serta mendapatkan laporan perubatan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam pada itu, Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.


