SARIKEI: Seorang lelaki berusia 43 tahun berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian tembakan di Sungai Rau, Entabai, Julau.
Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan di hadapan Majistret Stella Augustine Druce. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh semasa prosiding berkenaan.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa dengan niat.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.
Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak mangsa dalam insiden yang sama.
Selain itu, lelaki berkenaan juga didakwa di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 atas kesalahan melepaskan tembakan di luar kawasan lapang sasar yang dibenarkan.
Tambahnya, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut tergolong sebagai kesalahan yang tidak boleh dijamin di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, tertuduh diperintahkan ditahan di penjara sehingga sebutan semula kes pada 5 Mei 2026.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrulail.




