KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Stampin, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sekitar 11.50 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan berterusan dan maklumat awam.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemui empat paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 5.30 gram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM583 dan ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.
Alexson berkata, kejayaan tangkapan itu membuktikan kecekapan dan komitmen berterusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah. Dadah ialah musuh nombor satu negara, tegas beliau.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211 bagi membantu siasatan,” katanya.




