MIRI: Belum sempat sampai ke destinasi, perjalanan seorang lelaki berusia 56 tahun berakhir selepas motosikal yang ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Miri Sentral, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Miri Sentral menuju Jalan Cahaya.
Menurutnya, ketika tiba di jalan lurus berhampiran SL Cafe, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke dalam longkang sedalam kira-kira 1.5 meter.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Miri kira-kira 7.39 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.


