KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ sindiket pengedaran dadah selepas ditahan bersama 25 kilogram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta dalam serbuan di kawasan parkir MJC Batu Kawa New Township, Padawan pada 15 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan itu merupakan hasil maklumat risikan.

“Ketika ditahan, suspek berada di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 25 kilogram dadah disyaki methamphetamine.
“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.25 juta dan berpotensi digunakan oleh kira-kira 125,000 penagih dadah,” jelas beliau.
Mohamad Zainal berkata, siasatan mendapati suspek berperanan sebagai ‘runner’ bagi sindiket pengedaran dadah.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif, selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Menurut beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 23 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh hendaklah dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
“Pendekatan “Tiada Hari Tanpa Tangkapan” akan terus diperkasakan bagi memutuskan keseluruhan rantaian bekalan dadah, mengesan dan menyita hasil jenayah, serta memastikan setiap individu yang terbabit dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah.
Katanya, setiap maklumat yang diterima akan diberi perhatian sewajarnya dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.


