KUCHING: Seorang warga emas lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan sengaja menumbuk seorang kenalan wanita kerana menyangka mangsa hendak mencuri keretanya.
Chung Kim, 67, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di Batu 10 sekitar jam 10.00 malam, 24 Julai lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu wanita bersama-sama kawan lelakinya berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva, mereka tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang dikenali sebagai “uncle janggut”.
Tertuduh yang datang ke arah pengadu lalu memukul kepala dan badan menggunakan tangan selain menendang pengadu.
Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami luka ringan, benjol di kepala serta lebam pada bahagian bibir dan mata.
Punca kejadian adalah kerana tertuduh menyangka pengadu hendak membawa lari kereta tertuduh.
Laporan polis dibuat dan seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.



