KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas bertindak memasuki balai polis sambil membawa sebilah pisau pemotong buah dan mengacukannya seolah-olah mahu menikam seseorang.
Mohamed Teddy Chieng Abdullah, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau di tempat awam tanpa kebenaran yang sah di Balai Polis Padungan sekitar jam 3.25 petang pada 31 Oktober 2024.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.
Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis wanita didatangi tertuduh yang kemudian mengeluarkan sebilah pisau dari begnya dan mengacukannya seperti mahu menikam seseorang.
Pengadu dan rakan setugas mengarahkannya supaya menyerah diri sebanyak tiga kali, namun tertuduh enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.
Tertuduh akhirnya berjaya ditahan, dan hasil pemeriksaan mendapati dia memiliki sebilah pisau berhulu merah di dalam beg silangnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


