BAU: Seorang lelaki berusia 28 tahun cedera selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Bau-Batu Kawah Pan Borneo di sini, hari ini.
Komander Operasi PBK I KUP Tiwi Nios berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.50 petang tadi.
“Kami terus menggerakkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tiwi, setibanya pasukan di lokasi, kemalangan membabitkan kenderaan Proton Saga telah melanggar pembahagi jalan.
Terdapat seorang mangsa lelaki berada di bahagian tempat duduk pemandu dalam keadaan sedar dan mengalami kesakitan di bahagian tulang belakang, ujarnya.
“Pasukan bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa selepas dikeluarakan dari kenderaan melalui pintu belakang.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan dan rawatan lanjut,” katanya.


