PADAWAN: Seorang lelaki ditangkap selepas cuba mencabul beberapa orang wanita, selain menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan, kira-kira jam 1.15 petang tadi di sebuah kilang di Jalan Batu Kawa.
Katanya penahanan ke atas suspek dibuat hasil maklumat daripada orang awam.
“Setakat ini, pihak polis mengesahkan telah menerima sebanyak enam laporan kejadian mangsa cuba dicabul kehormatan dan juga tindakan suspek melakukan kelucahan melampau.
“Suspek akan mengekori mangsa dan apabila tiba di kawasan yang sunyi, suspek akan mengambil kesempatan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata turut dirampas sebuah motosikal, dua buah topi keledar dan pakaian suspek.
Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Beliau menambah suspek akan direman di Mahkamah Kuching esok untuk siasatan lanjut.

