MIRI: Cubaan seorang lelaki menyeludup minyak diesel akhirnya mengundang padah setelah berjaya ditahan pihak polis di tepi jalan Lutong-Kuala Baram di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Polis Marin Wilayah 5 Miri ketik menjalankan tugas sempena Op Taring Kontraban, sekitar jam 2.30 petang.
Katanya, semasa operasi tersebut, pasukan polis telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Single Cab berwarna putih.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, ia didapati membawa muatan disyaki minyak diesel yang bernilai anggaran RM3,800, dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961,” katanya.
Menurutnya lagi, kenderaan yang digunakan untuk membawa muatan tersebut, yang bernilai RM75,000, turut dirampas.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM78,800.
“Kesemua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Kementerian Perdagangan dalam Negeri (KPDN) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.




