ARTIKEL

TAHAN…Suspek ditahan atas kesalahan mencuri wayar tembaga di tiga pencawang elektrik di sini.

Lelaki Curi Wayar Tembaga Untuk Beli Dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Demi mendapatkan wang untuk membeli dadah, seorang lelaki sanggup memotong wayar tembaga tiga pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan ke kawasan perumahan di sekitar Saratok sebelum menjual hasil curi itu di sebuah premis membeli barang lusuh dengan harga hanya RM120.

Bagaimanapun, tindakannya terbongkar selepas kehilangan wayar tembaga di sebuah pencawang elektrik milik Sarawak Energy di Taman Krian Jaya, Awik-Krian Land District dilaporkan kepada polis pada 22 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, hasil risikan dan siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok membawa kepada penahanan tiga individu berusia antara 36 hingga 40 tahun di pekarangan Balai Polis Betong semalam.

“Siasatan mendapati suspek utama yang berusia 36 tahun bertindak bersendirian dengan menunggang motosikal dari Spaoh sebelum memecah masuk pencawang elektrik berhampiran kawasan perumahan dan memotong wayar tembaga menggunakan playar,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mathew, suspek kemudian mengulangi perbuatan sama di dua lagi pencawang elektrik di Simpang Saratok dan Simpang Awik sebelum membawa pulang semua wayar tembaga yang dicuri.

Katanya lagi, hasil siasatan juga mendapati suspek menjual semua wayar tembaga itu kepada pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan membeli barang lusuh di Jakar, Sarikei pada harga RM120.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati suspek melakukan jenayah itu bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai 10 rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

“Pasangan suami isteri yang dipercayai membeli wayar tembaga tersebut pula didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala ketiga-tiga suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU