KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam transaksi wang hasil penipuan secara dalam talian berjumlah RM4,200.
Lawrance Sim, 32, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 424(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun hingga 10 tahun, atau denda tidak kurang daripada RM10,000 hingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Dia didakwa menerima kemasukan wang bernilai RM4,200 ke dalam akaun peribadinya di sebuah premis di Jalan Bako pada 6 November 2024.
Menurut fakta kes, pada 1 November 2024, sekitar jam 11 pagi, pengadu wanita berusia 25 tahun melihat iklan pinjaman wang daripada sebuah bank di aplikasi Facebook lalu tertarik untuk membuat pinjaman.
Pengadu kemudian berurusan dengan dua individu, Daniel Goh menerusi talian 011-75794970 dan Peter Tan menerusi nombor telefon 017-7396708, bagi tujuan pinjaman wang terbabit.
Dia kemudian diminta membayar kos pemprosesan pinjaman untuk mendapatkan wang pinjaman terbabit.
Pengadu kemudian membuat enam transaksi berjumlah RM9,510 kepada empat individu, termasuk ke akaun peribadi tertuduh.
Pengadu menyedari dirinya ditipu apabila diminta memasukkan lagi wang berjumlah RM3,600.
Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menerima kemasukan wang ke akaun peribadinya tanpa tujuan yang sah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


