KUCHING: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik lelaki berusia 63 tahun, 27 April lalu.
Hukuman diputuskan Majistret Zaiton Anuar selepas tertuduh, Aloysius Elvin Martin, 25, dari Kampung Menjau Batu mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Dia melakukan khianat itu gara-gara tidak dibenarkan masuk ke rumah bekas adik ipar perempuan lalu membaling tong sampah ke arah cermin belakang kereta jenis Sedan milik mangsa lelaki berusia 63 tahun hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM600.
ALoysius melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Landeh, Kota Samarahan, kira-kira jam 10.30 malam, 27 April lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zaiton menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.
Menurut fakta kes, semasa pengadu wanita (bekas adik ipar) dengan teman lelakinya melihat ALoysius dalam keadaan marah-marah di luar rumah.
Tertuduh yang berada di tepi kereta milik bapa pengadu mengangkat tong sampah berdekatan lalu membaling ke arah belakang kereta terbabit.
Akibat kejadian itu, cermin belakang kereta bapa pengadu pecah dan anggaran kerugian dialami sekitar RM600.
Pengadu seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian di sebuah rumah di Jalan landeh.
Difahamkan, punca kejadian kerana tertuduh tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke rumah pengadu.
Selain itu, tertuduh merupakan abang kepada suaminya yang telah meninggal Ogos tahun lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




