SARIKEI: Cubaan memiliki 11,010 liter minyak diesel tanpa lesen mengundang padah apabila seorang lelaki tempatan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, tertuduh didakwa pada 6 Ogos lalu atas kesalahan memiliki barang kawalan berupa minyak diesel tanpa lesen bernilai RM23,671.50.
Beliau berkata, pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Stella Augustine Druce, sebelum tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM45,000 terhadap tertuduh manakala kegagalan menjelaskan denda itu boleh menyebabkan pesalah dikenakan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan sebelum dibebaskan, manakala semua barang kes turut dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan.
Katanya, tindakan tegas itu membuktikan komitmen KPDN dalam membanteras sebarang bentuk penyelewengan membabitkan barang kawalan dan barang bersubsidi di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi.



