KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun maut selepas dihempap bongkah konkrit dalam kemalangan di tapak pembinaan sekolah di Simunjan pada 27 Februari lalu.
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak, kejadian berlaku kira-kira 1.40 petang ketika kerja-kerja memindahkan bongkah konkrit dari struktur I-Beam ke permukaan tanah menggunakan jentera lori kren sedang dijalankan.
“Dapatan awal menunjukkan mangsa merupakan seorang warga tempatan berumur 67 tahun yang bukan pekerja di bawah syarikat subkontraktor terlibat,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Menurut kenyataan itu, semasa kerja-kerja mengangkat bongkah konkrit dijalankan, rakan mangsa terdengar jeritan sebelum menemui mangsa dalam keadaan dihempap salah satu bongkah konkrit yang berada di atas struktur I-Beam tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Simunjan,” menurut kenyataan itu.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Susulan kejadian itu, JKKP Sarawak memaklumkan pihaknya mengeluarkan enam notis larangan kepada majikan bagi menghentikan kerja berkaitan sehingga langkah keselamatan sewajarnya dilaksanakan.
“Sehubungan itu, enam notis larangan dikeluarkan kepada majikan bagi menghentikan kerja yang berkaitan sehingga langkah-langkah kawalan keselamatan yang sewajarnya dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
Jika didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan akta berkenaan, pihak yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
JKKP Sarawak akan terus komited untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sentiasa dipatuhi bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.-TVS




