BAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam ketika keluar memancing di Kampung Suba, di sini ditemui selamat hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Nick Jamal Jome, 24, ditemui berhampiran kawasan perkuburan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 1.42 petang.

Katanya, pencarian dilakukan sebaik taklimat bersama pihak polis dan operasi SAR dibahagikan kepada tiga kumpulan.
“Pencarian tertumpu di kawasan darat, bermula dari lokasi tempat motosikal mangsa dijumpai radius operasi dalam 3km.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan selamat dibawa balik ke rumah dan tugas seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi pencarian membabitkan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan penduduk kampung.
Terdahulu, mangsa keluar memancing pada jam 2 petang semalam dan tidak pulang ke rumah sejak itu.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat berhubung kehilangan mangsa.


