ARTIKEL

Gambar hiasan

Lelaki dipenjara sembilan bulan tumbuk isteri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menumbuk muka isterinya selepas berang diminta kunci kereta oleh mangsa untuk memeriksa bateri kereta yang telah diambilnya.

Chan Hua Boo, 57, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 40 tahun dalam sebuah rumah sewa di Jalan Traffic Garden, sekitar jam 8.00 malam, 26 Mei 2022.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu berada dalam bilik tidur melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam telefon bimbitnya mendapati suaminya telah mengambil bateri kereta daripada hadapan bonet keretanya.

Susulan itu, pengadu kemudian meminta kunci keretanya daripada tertuduh untuk memeriksa keadaan keretanya.

Berang dengan tindakan isterinya, tertuduh bertindak menumbuk bahagian kepala sebelah kiri, belakang leher dan mata sebelah kiri hingga menyebabkan kecederaan bengkak.
Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan untuk mengelak perkara yang sama berulang, membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pengadu juga dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mengalami kecederaan bengkak di bahagian muka kiri.

Kejadian itu turut disaksikan oleh penyewa lain yang sama menyewa dalam rumah tersebut.

Tertuduh berjaya ditangkap pada 28 Mei 2022, sekitar jam 2.20 petang, di tepi lorong Jalan Stampin Baru.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU