Lelaki disyaki hilang ditemui lemas di Sungai Baram

MIRI: Seorang lelaki yang disyaki hilang selepas perahu miliknya ditemui hanyut oleh penduduk kampung di Lubuk Amam, Sungai Baram, Marudi di sini Rabu lalu, ditemui mati lemas tengah hari tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) Sarawak, mayat Albert Gunai Dadom, 64, dijumpai terapung pada jarak lapan kilometer dari Kuala Sungai Ridan, Baram kira-kira jam 12.50 tengah hari oleh penduduk kampung.

“Mangsa telah dibawa ke Pangkalan Ridan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, mangsa dikatakan telah keluar untuk memasang pukat dan disyaki hilang setelah perahu yang digunakan oleh mangsa ditemui hanyut oleh penduduk.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh anak mangsa pada Rabu lalu.

Suara Sarawak