ARTIKEL

TAHAN…Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkawan menggunakan senjata yang dilaporkan berlaku di tepi jalan di Jalan Song Thian Cheok, di sini, baru-baru ini.

Lelaki ditahan bantu siasatan kes samun berkawan bersenjata

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkawan menggunakan senjata yang dilaporkan berlaku di tepi jalan di Jalan Song Thian Cheok, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu memaklumkan, kejadian itu dipercayai berlaku pada 31 Mei 2026 sekitar 12.02 tengah malam selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung insiden berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis melancarkan operasi dan berjaya mengesan serta menahan suspek pada 8 Jun 2026 kira-kira 11.45 pagi.

“Hasil semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut yang kini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Alexson, dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 berwarna putih yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah berkenaan bagi membantu siasatan.

Suspek direman selama tujuh hari selepas permohonan tersebut diluluskan oleh Majistret Kuching, dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan aspek keselamatan kediaman masing-masing dengan memasang CCTV, sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci terutama pada waktu malam.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian 082-244444 bagi membantu pencegahan jenayah di daerah ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU