KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas video pergaduhannya di tepi Jalan Patingan di sini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek berusia 44 tahun itu ditangkap semalam, selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi 33 saat yang memaparkan suspek menolak serta memarahi mangsa, yang juga lelaki tempatan berusia 57 tahun.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Namun, katanya saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
Sehubungan itu, Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera dan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Manakala, katanya kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian juga dialu-alukan untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mancha Gubak di talian 013-5958260 atau menghubungi balai polis berdekatan.



