MUKAH: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menjalankan kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen dalam serbuan di kawasan Sungai Liuk, Balingian, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 23 tahun itu dilakukan pada 4.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Katanya, polis melakukan serbuan di sebuah premis kedai tidak bernombor selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan perjudian yang dipercayai aktif di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di kaunter premis tersebut membawa kepada penemuan sebuah telefon pintar yang mengandungi aplikasi dipercayai digunakan untuk urusan jual beli loteri awam tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan termasuk sebuah mesin pencetak, sekeping kertas putih bercetak nombor empat angka, sebatang pen dan sebuah kalkulator.
Selain itu, wang tunai berjumlah RM78 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut turut dirampas bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, suspek dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan siasatan terperinci dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu negatif daripada sebarang pengambilan bahan terlarang,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 hingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun.



